Tuesday 11 October 2011

PENGAJARAN TATABAHASA TAHUN 6

MUKADIMAH

Bahasa ialah satu kemahiran dan mesti dipelajari oleh penutur aslinya.

Proses pemupukan bahasa memerlukan masa yang panjang. Kemahiran bahasa tidak dapat diperoleh dalam masa seminggu dua, apatah lagi sehari dua.

Tatabahasa

Tatabahasa menjadi unsur yang amat penting dalam mana-mana bahasa. Tidak ada orang yang mempelajari sesuatu bahasa tanpa mempelajari tatabahasa bahasa itu. Hal ini demikian kerana tatabahasa ialah acuan bahasa. Maksudnya, tatabahasa merupakan peraturan-peraturan berkaitan kata dan ayat yang dibina seterusnya disusun dalam bentuk yang lebih besar, iaitu wacana.



WACANA

Ayat yang lengkap binaan bahasanya.

Sepucuk surat, misalnya ialah sebuah wacana, iaitu binaan bahasa yang lengkap, kerana ada maklumat pengirim, penerima, perkara, kandungan surat dan sebagainya.

Bidang Tatabahasa:
- Morfologi – pembentukan kata
- Sintaksis – pengetahuan tentang susunan kata dalam ayat
- Sistem Ejaan – ejaan yang betul/sebutan baku
- Kosa kata – pelbagai kosa kata/perkataan
- Peribahasa – simpulan bahasa/ perumpamaan/bidalan/ungkapan/ kata hikmat

PEMBENTUKAN AYAT

Ayat : Ayah saya sudah keluar.

Klausa : ayah saya sudah keluar

Frasa : ayah saya / sudah keluar

Tatabahasa










PINTAR BERBAHASA - MEMBETULKAN YANG BIASA, MEMBIASAKAN YANG BETUL

Budak-budak nakal itu saling tuduh-menuduh dan tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.

Budak-budak nakal itu tuduh-menuduh dan tidak mahu mengakui kesalahan sendiri.
{Gugurkan perkataan saling sebab tuduh-menuduh adalah kata ganda yang membawa maksud saling}

2) Puan Kamariah Hamzah membeli sebiji kek berperisa coklat di pasar tani pagi tadi.

Puan Kamariah Hamzah membeli sebiji kek berperasa coklat di pasar tani pagi tadi.
{Perkataan perisa membawa maksud enak/sedap, perasa pula membawa maksud rasa seakan-akan}

3) Emak menghidangi kami sepinggan goreng pisang yang masih panas petang itu.

Emak menghidangi kami sepinggan pisang goreng yang masih panas petang itu.
{Hukum D-M yang betul, pisang goreng sebab yang diterang ialah
pisang dan yang menerang ialah goreng}

4) Kedua-dua pengantin itu berseri-seri semasa bersanding di atas pelamin.

Kedua-dua orang pengantin itu berseri-seri semasa bersanding di atas pelamin.
{Kata bilangan ‘kedua-dua‘ dalam ayat mesti diiringi dengan penjodoh bilangan yang sesuai, iaitu ‘orang’}

5) Bapa Khamarrul Efenddi adalah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Teluk Intan.

Bapa Khamarrul Efenddi ialah Guru Besar di Sekolah Kebangsaan Seri Setia, Teluk Intan.
{‘Ialah’ – Kata pemeri yang menghubungkan benda (subjek) dengan cerita (predikat) dalam ayat}

 6) Keterangan yang diberi oleh saksi utama kes pecah amanah itu ialah rekaan semata-mata.

Keterangan yang diberi oleh saksi utama kes pecah amanah itu adalah rekaan semata-mata.
{“Adalah” – Kata pemeri yang menghuraikan lebih lanjut tentang benda (subjek) yang disebut sebelumnya}

7) Mak Cik Mariam menghidangkan tetamunya sepinggan kuih seri muka.

Mak Cik Mariam menghidangi tetamunya sepinggan kuih seri muka.
{Imbuhan apitan “meng ... i” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada manusia sahaja}


8) Encik Abdul Razak menghadiahi cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.

Encik Abdul Razak menghadiahkan cincin bertatahkan berlian kepada bakal isterinya.
{Imbuhan apitan “meng ... kan” - cerita (predikat) dalam ayat itu mesti merujuk kepada benda atau binatang}

9) Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan merbahaya itu.

Berhati-hati memandu kenderaan di selekoh yang tajam dan berbahaya itu.
{Tidak ada imbuhan awalan ‘mer-‘ dalam tatabahasa Melayu, bukan merbahaya tetapi berbahaya}

10) Kejayaan gemilang dalam UPSR yang diperolehi Abdul Mutalib kerana usaha gigihnya.

Kejayaan gemilang dalam UPSR yang diperoleh Abdul Mutalib kerana usaha gigihnya.
{Apitan ‘diper ... i’ – hanya kepada empat perkataan; diperisteri, dipersuami, diperkawani dan diperingati}
{Awalan ‘diper-’ – ialah awalan yang membentuk kata kerja ayat pasif, selain empat perkataan di atas}

11) Adik terlalu sayangkan kucing Siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.

Adik terlalu sayang akan kucing siam itu sehingga dibawanya tidur bersama-sama.
{Kata yang ada unsur emosi/perasaan tidak boleh disisipkan imbuhan akhiran “-kan”, sepatutnya akan}

 12) Muhammad Zunaidi menunggu kawannya di Stesen Bas Banting selama dua setengah jam.

Muhammad Zunaidi menunggu kawannya di Stesen Bas Banting selama dua jam setengah.
{Dua setengah jam merujuk kepada bilangan jam, dua jam setengah merujuk kepada waktu, 2 jam 30 minit}

13) Merujuk kepada perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran.

Merujuk perkara di atas, bersama-sama ini dikepilkan sesalinan sijil kelahiran.
{Perkataan ‘merujuk’ dalam ayat membawa maksud kepada secara tersirat, tidak perlu merujuk kepada}

14) “Semenjak dari hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.

“Semenjak hari itu, dia tidak pernah lagi datang ke sini,” kata Haikal kepada Alif.
{Gugurkan perkataan ‘dari’ kerana perkataan ‘semenjak’ dan ‘dari’ adalah kata sendi yang sama maksud}

15) Para pekerja sedang memperlebarkan jalan utama dari Kelang menuju ke Kuala Selangor.

Para pekerja sedang memperlebar jalan utama dari Kelang menuju ke Kuala Selangor.
{Apitan “memper ... kan” menerima kata nama dan kata kerja, awalan “memper-“ menerima kata adjektif}

16) Peninju veteran itu berhasrat untuk bersara daripada arena sukan lasak tersebut.

Petinju veteran itu berhasrat untuk bersara daripada arena sukan lasak tersebut. (betul)
{“Peninju” membawa maksud tinju atau penumbuk, “Petinju” pula bermaksud orang yang berlawan tinju}

17) Setiap pagi ayah bersarapan dua biji telur ayam separuh masak dengan madu lebah asli.

Setiap pagi ayah bersarapan dua biji telur ayam masak separuh dengan madu lebah asli.
{“Telur ayam separuh masak” merujuk separuh bahagian telur tersebut, “masak separuh” pula merujuk setengah masak}

 18) Makanlah ikan kerana ia mengandungi banyak protein dan baik untuk kesihatan kita.

Makanlah ikan kerana ikan mengandungi banyak protein dan baik untuk kesihatan kita.
{Kata ganti nama diri ketiga “ia” digunakan dalam ayat untuk/merujuk manusia sahaja. Salah, jika digunakan untuk benda atau haiwan}




No comments:

Post a Comment